twitter rss
peluang usaha peluang usaha

Benarkah DEMONSTRASI Adalah tindakan bodoh?

Aktiviti berdemonstrasi (tunjuk 
 perasaan) atau perarakan di jalan-jalan, berkumpul di luar bangunan atau kawasan terbuka dengan membawa sepanduk yang merupakan manifestasi dari rasa tidak puas hati berkenaan sesuatu perkara nampaknya semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Secara sepintas lalu, ia 
menunjukkan sifat prihatin rakyat terhadap isu-isu semasa yang menyentuh sensitiviti mereka.

Minggu lepas kita telah dikhabarkan oleh media-media massa mengenai demonstrasi yang dilakukan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggelarkan diri mereka sebagai Badan Anti IFC (Suruhanjaya Antara Agama) atau BADAI yang dianggotai oleh beberapa NGO. Seramai lebih kurang 500 orang telah berdemonstrasi membantah forum bertajuk `Perlembagaan Persekutuan : Perlindungan Untuk Semua' di hadapan Hotel Cititel, Pulau Pinang yang dianjurkan oleh Aliran dan Article 11, yang dianggotai oleh 14 NGO termasuk Sisters in Islam (SIS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Majlis Peguam dan All Women's Action Society (AWAM) [Utusan Malaysia 15 Mei 2006]. Tindakan demonstrasi yang dilakukan oleh BADAI itu telah menimbulkan reaksi yang negatif dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dengan menyifatkannya sebagai salah dan bodoh. “Jika anda bantah dan adakan demonstrasi ketika orang berbincang, ia tindakan bodoh. Saya tidak takut menggunakan ayat itu”, katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Pakar-pakar Antarabangsa Mengenai Hak Asasi Manusia di Sisi Islam (MIEHRI) di Kuala Lumpur. [Utusan Malaysia 16 Mei 2006].

Dilihat dari sudut sejarah, demonstrasi sebenarnya telah lama menular ke negara ini, semenjak Tanah Melayu dijajah oleh British lagi. Ketika itu, kuasa pemerintahan dipegang sepenuhnya oleh British yang menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat. Rakyat, khususnya orang Melayu bangkit untuk menentang penjajah. Kebangkitan mereka dimanifestasikan oleh tindakan demonstrasi untuk menunjukkan rasa tidak puas hati kepada British. Para pejuang nasionalis Melayu sebelum zaman merdeka telah beberapa kali melakukan tindakan demonstrasi dan antara yang terbesar adalah demonstrasi yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar, pada 10 Februari 1946. Dianggarkan seramai 15,000 orang Melayu telah berhimpun menentang penubuhan Malayan Union, di Batu Pahat, Johor. Ini telah menjadi titik tolak kepada beberapa siri demonstrasi orang Melayu, khasnya ahli UMNO selepas itu dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu sehingga berakhirnya penjajahan pada 31 Ogos 1957.

Amat tidak wajar jika kita membuat kesimpulan bahawa demonstrasi yang telah dilakukan ini suatu tindakan bodoh. Adakah pemimpin-pemimpin (khasnya UMNO) dan rakyat yang telah berjuang dengan melakukan demonstrasi untuk mendapatkan kemerdekaan dari British ini telah melakukan suatu kebodohan? Walaupun demonstrasi itu telah dilakukan ‘secara haram’ (kerana British pada waktu itu tidak memberi permit untuk rakyat mengadakan demonstrasi), tetapi pemimpin dan rakyat pada waktu itu tidak pernah beranggapan ia adalah suatu kebodohan, malah sebaliknya. Walaupun perhimpunan adalah ‘haram’, rakyat tetap bangkit dan berdemonstrasi tanpa memperdulikan ‘keharamannya’. Inilah sejarah yang tidak dapat kita nafikan.


Posting Komentar

Labels

Labels

Labels